Posted on: 13/10/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan  menyempurnakan majlis perasmian  projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia iaitu  Stesen Janakuasa Battersea di Central London, menjelang pelancarannya kepada umum Jumaat ini.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Zakri Jaafar.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Stesen Janakuasa Battersea disambut oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Arifin Zakaria, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Datuk Zakri Jaafar; Menteri Pelaburan UK Dominic Johnson dan Menteri Dasar Perdagangan UK, Greg Hands.

Yang di-Pertuan Agong menyempurnakan pembukaan Stesen Janakuasa Battersea dengan menghidupkan semula kuasa secara simbolik di Dewan Turbin A yang telah tidak aktif selama lebih 40 tahun dan kini akan menempatkan sebahagian daripada pusat beli-belah Stesen Janakuasa itu.

Baginda  kemudiannya berkenan mencemar duli melancarkan plak memperingati lawatan peringatan kekal akan hubungan kukuh antara Malaysia dan United Kingdom.

Hampir empat dekad selepas penutupannya, mercu tanda tersenarai Gred II* yang telah dipulihkan itu akan dibuka kepada orang ramai pada Jumaat, 14 Oktober.

Pernah menjadi stesen janakuasa arang batu satu ketika dulu, ia kini bersedia untuk menjadi salah satu destinasi beli-belah dan riadah yang paling menarik di London.

Di bawah jagaan pemegang sahamnya – Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak 2012, mercu tanda ikonik tersenarai Gred II* itu telah dipulihkan kembali kepada puncak kegemilangannya dahulu manakala ruang yang lebih luas telah berubah menjadi kawasan komuniti yang meriah dan rancak.

Pada 2019, syarikat pengurusan dana terkemuka Malaysia, PNB dan KWSP menjadi pemegang aset komersial jangka panjang bagi menjamin masa depan mercu tanda itu untuk generasi-generasi akan datang.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Zakri Jaafar berkata pembukaan semula Stesen Janakuasa Battersea adalah bukti keupayaan Malaysia dalam melaksanakan projek pembangunan utama di UK.

“Saya yakin kita akan melihat lebih banyak usaha ini pada masa hadapan. Saya mengucapkan tahniah kepada PNB, Sime Darby Property, S P Setia dan KWSP atas segala usaha mereka dalam memulihkan dan membangunkan semula Stesen Janakuasa Battersea.

“Ini adalah pencapaian cemerlang dan mewakili hubungan dua hala, ekonomi dan pelaburan yang erat antara Malaysia dan UK,” katanya.

Pengerusi Battersea Project Holding Company dan Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Property  Datuk Jagan Sabapathy pula berkata melalui kekuatan berterusan hubungan Malaysia-UK dan pengalaman luas para pemegang saham, konsortium itu telah berjaya menghidupkan semula ikon London.

“Bukan sahaja destinasi baharu dicipta daripada usaha menghidupkan semula stesen janakuasa yang tidak digunakan itu, malah komuniti yang berkembang maju telah pun wujud sejak pembukaan fasa pertama projek berkenaan, Circus West Village,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata transformasi yang dahulunya  stesen janakuasa arang batu kepada destinasi kediaman,  runcit dan percutian/riadah  holistik yang juga mampu membekalkan tenaga mampan menandakan ia satu pencapaian penting dalam sejarah pembangunan hartanah London.

“Sebagai pelabur institusi jangka panjang, kami berharap untuk menyaksikan Stesen Janakuasa Battersea berkembang maju sebagai hab komuniti dan perniagaan yang mampan,” katanya.

Sumber: BERNAMA