Posted on: 21/10/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan 1.9 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya sempena perayaan Deepavali dan cuti tambahan persekolahan bermula hari ini hingga 26 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pihaknya mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu orang ramai merancang perjalanan mereka selain membantu syarikat konsesi lebuh raya itu mengagihkan trafik yang bergerak di pelbagai destinasi.

“Jadual TTA ini boleh juga boleh dirujuk di laman sesawang www.plus.com.my serta saluran-saluran media sosial PLUS. 

TTA bertujuan mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya  terutama  di lokasi kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan tersebut,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menasihati pengguna dari Lembah Klang yang akan pulang ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor mulai hari ini supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi manakala pengguna dari negeri terbabit yang bergerak ke Lembah Klang bermula 24 hingga 26 Oktober, memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi. 

Katanya PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Polis Diraja Malaysia akan mengaktifkan Ujian Awam SmartLane (melibatkan pembukaan dan penggunaan lorong kecemasan kepada kenderaan) di laluan Bukit Tambun-Plaza Tol Juru dan Sungai Petani Selatan-Hentian Sebelah Tikam Batu bagi mengurangkan kesesakan. 

Zakarian berkata PLUS juga akan memastikan tiada penutupan lorong atau kerja penyelenggaraan serta naik taraf atau pembinaan dilaksanakan di lebuh raya kendaliannya antara 21 hingga 25 Oktober bagi memastikan tiada gangguan terhadap perjalanan orang ramai.

Beliau turut memaklumkan seramai 512 anggota PLUSRonda akan berada di lebuh raya untuk membuat rondaan dan membantu orang ramai, yang menyaksikan peningkatan lapan peratus berbanding hari biasa.

Sumber: BERNAMA