
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganjurkan Karnival Statistik 2022 yang bermula semalam hingga Sabtu di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) Sungkai di sini sempena sambutan Hari Statistik Negara (HSN) dan sedekad penubuhan ILSM.
ILSM ditubuhkan pada 2012 dan merupakan sayap kanan DOSM yang bertindak sebagai pusat pembangunan modal insan serta bertanggungjawab melahirkan anggota berpengetahuan terutama dalam bidang statistik selain memupuk personaliti berintegriti, dinamik, inovatif dan berprestasi tinggi.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pelbagai program disusun sepanjang karnival itu seperti MyFuture Jobs, Jualan Bantu Rakyat Kedai Bergerak, Debat Statistik Institut Pengajian Tinggi dan Stats FitDOSM Perdana.
“Ini jelas menyaksikan komitmen DOSM dalam usaha untuk merakyatkan statistik, mengukuhkan literasi statistik serta membudayakan penggunaan statistik dalam komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan HSN semalam.
Kenyataan DOSM pula memaklumkan penganjuran karnival itu diharap memberi impak besar kepada inisiatif jabatan berkenaan dalam memastikan pembudayaan statistik dapat memanfaatkan Keluarga Malaysia seterusnya mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Kenyataan itu menyebut HSN diraikan segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pembekal dan pengguna statistik.
Menurut DOSM, bagi pengamal statistik seperti perangkawan, penggubal dasar, ahli akademik serta para penyelidik, sambutan HSN menjadi pendorong untuk pengumpulan data, penyusunan statistik serta penyediaan maklumat berkualiti.
Katanya masyarakat pula dapat merasai kepentingan statistik sebagai ukuran penentuan hidup yang lebih baik dan sempurna.
Menurut kenyataan itu, statistik juga memainkan peranan besar kepada pihak swasta dalam membuat keputusan perniagaan dan membuka peluang untuk syarikat atau perniagaan sentiasa kompetitif dalam pasaran yang semakin mencabar.
DOSM menyebut pelaburan antarabangsa dan kedudukan negara di mata dunia turut ditentukan dengan menggunakan indikator utama yang dijana melalui statistik. HSN diisytihar pada 20 Oktober 2017 dan disambut secara tahunan.
Sumber: BERNAMA