
Hampir 300 remaja telah mendapatkan kad sim percuma di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi dan Visual Jabatan Penerangan Nor Azli Mohd Nor Azian berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan bahkan ada ibu bapa yang turut mengambilnya untuk anak mereka yang menetap di asrama.
Beliau berkata remaja berusia 13 hingga 21 tahun layak mendapatkan kad sim percuma itu daripada syarikat telekomunikasi antaranya Celcom, Maxis dan Digi.
“Ini merupakan antara usaha kita untuk memudahkan golongan berkenaan dalam urusan harian dan pembelajaran mereka kerana melalui kemudahan itu mereka dapat akses maklumat dengan mudah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.
Bagi Wan Nor Yasmin Zulaikha Wan Mohd Noruddin,17, dan adiknya Wan Nor Sara Khadijah, 15, kad sim berkenaan dilihat memudahkan mereka menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan akses Internet.
“Kami berdua kongsi sebuah telefon bimbit, selepas ini saya boleh menggunakan telefon bapa yang sudah tidak digunakannya dengan kad sim baharu ini…jadi tidak perlu lagi berkongsi dengan adik, terima kasih atas pemberian ini,” kata Wan Nor Yasmin Zulaikha yang juga anak sulung daripada empat beradik.
Selain pemberian kad sim percuma, reruai Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut dimeriahkan dengan pertandingan kuiz yang menjadi tumpuan pengunjung.
Sumber: BERNAMA