
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai visi sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, menyasarkan RM150 juta jumlah terimaan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sehingga hari ini.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata terimaan deposit itu adalah sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 iaitu program pengenalan yang diadakan sepanjang bulan ini bermula 1 hingga 31 Oktober 2022 secara fizikal dan dalam talian di peringkat negeri serta nasional.
“Bagi tempoh 1 sehingga 28 Oktober 2022, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM144 juta atau 96 peratus berbanding RM150 juta yang disasarkan.
“Insya-Allah, masih berbaki sehari lagi sebelum 31 Oktober 2022 dan PTPTN yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
PTPTN telah mengadakan Majlis Penutup BMS 2022 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia secara dalam talian pada 30 Oktober 2022 melalui Facebook PTPTNOfficial dan YouTube PTPTN TV yang disempurnakan oleh Ahmad Dasuki.
Bertemakan ‘Blok’ dengan mengekalkan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda,’ BMS adalah amat signifikan dengan usaha berterusan, perancangan dan ketelitian untuk membina masa hadapan.
Ahmad Dasuki berkata BMS, yang dianjurkan setiap tahun mulai 2018, adalah antara usaha bagi menyebar luas manfaat Simpan SSPN kepada Keluarga Malaysia dan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat untuk terus menabung bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.
Bersempena sambutan bulan menabung tahun ini, PTPTN turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya melalui Program Junior Superhero Simpan SSPN Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022.
Beliau berkata melalui program ini, PTPTN memberi sumbangan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 kepada bayi yang dilahirkan pada bulan Oktober 2022.
“PTPTN turut bekerjasama dengan institusi kewangan dan rakan strategik dengan mengadakan pelbagai program serta aktiviti sepanjang bulan Oktober 2022 untuk meningkatkan kesedaran dan menyemai pengetahuan mengenai kewangan,” katanya.
Sumber: BERNAMA