
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membina bot nelayan moden bagi kegunaan nelayan kelas A dan B (bot bersaiz kecil), untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka.
Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata MOSTI telah memberikan geran berjumlah RM3.5 juta kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi membina prototaip bot nelayan moden itu yang dijangka siap dalam tempoh setahun.
“Kini, kita masih lagi menggunakan kaedah lama terutama melibatkan bot nelayan kelas A dan B, yang mana bot dihasilkan daripada kayu cengal, kita tahu kayu adalah satu bahan yang mempunyai harga yang tinggi dan semakin berkurangan khususnya apabila melibatkan kayu cengal.
“Jadi apabila kita dapat usahakan pembinaan bot nelayan moden ini ia akan lebih cepat dan murah untuk dibina, serta ia akan disekalikan dengan teknologi baharu yang lebih ringan dan tidak memerlukan pemasangan enjin yang besar serta boleh dibaiki dengan cepat (sekiranya rosak),” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Ahmad Amzad berkata bot nelayan moden itu juga akan dilengkapi pelbagai teknologi penangkapan ikan termasuk penggunaan satelit.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia bagi pengujian bot dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam hal pemberian insentif untuk skim pemilikan.
Sumber: BERNAMA