Posted on: 07/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan Sarawak akan membentangkan cadangan untuk meminda perlembagaan negeri dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung bulan ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata hal itu bagi menyelaraskan perlembagaan negeri dengan peruntukan larangan bertukar parti dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipinda baru-baru ini.

Katanya cadangan pindaan itu bagi memperhalusi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Sarawak terutamanya melibatkan wakil rakyat yang menang atas tiket Bebas atau mereka yang telah keluar parti dan mahu bertukar ke parti lain. 

“Hujung bulan ini DUN bersidang dan kita akan pinda Perlembagaan Sarawak dan perbaiki undang-undang anti-lompat parti,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Sarawakku Sayang di Engkilili, kira-kira 203 kilometer dari sini, semalam.

Katanya kerajaan negeri juga akan membentangkan Belanjawan Negeri 2023 dalam persidangan itu yang bakal berlangsung pada 21 hingga 30 November ini. 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata rakyat Sarawak perlu berhati-hati dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memberi sokongan kepada calon yang berpolitik demi memperjuangkan hak rakyat dan bukan atas kepentingan peribadi. 

Sumber: BERNAMA