Posted on: 21/09/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Ribuan pencari kerja, pelajar dan lepasan sekolah membanjiri Program Kerjaya Belia Labuan 2022 sempena Hari Belia Negara yang berlangsung di Kompleks Ujana Kewangan, minggu lepas.

Dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan,  program yang berlangsung sehari pada 18 September itu turut dikunjungi lepasan graduan yang mencari peluang pekerjaan.

Terdapat 22 reruai di pameran kerjaya itu dan berjaya mengadakan temu duga jumpa terus bagi 83 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor termasuk sektor berkaitan minyak dan gas.

Ketua Bahagian Pembangunan Ekonomi JBS Rody Erik Anajery berkata karnival kerjaya itu mendapat sambutan menggalakkan  bukan sahaja melibatkan  warga tempatan tetapi turut dikunjungi pengunjung luar iaitu dari Menumbok dan Kuala Penyu, Sabah.

“Hampir 3,000 pencari kerja telah datang dan mencuba nasib mengisi kekosongan yang terhad itu, ia sungguh mengujakan dan kami berharap dapat menganjurkan pusingan kedua acara ini pada tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam program kerjaya itu ialah Labuan Integrated Insurance; Qualitas Medical Group Sdn Bhd; Thai Odyssey Management Services Sdn Bhd; Thai Odyssey Group Sdn Bhd; Thai Odyssey Sdn Bhd; Healthcare Planet Sdn Bhd; Sunrise ITC dan Persatuan Autism Labuan.

Syarikat lain ialah Crowe (Labuan) LLP, Brighton; Pemborong Maju Bersatu Sdn Bhd; Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB); Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd;  Reservoir Link Sdn Bhd; Schlumberger (WTA) Sdn Bhd; Petra Resources Sdn Bhd; Sabah Flour and Feed Mills Sdn Bhd; Agensi Pekerjaan Jaya Abadi; Icon Trans Sdn Bhd; Kelab Pengurusan Golf Perbadanan Labuan; Gain Forlife Sdn Bhd; Skill Development Sdn Bhd dan Lazenda Hotel.

Bagi Salim Rahman, 22, berkelulusan dari sebuah universiti swasta di Semenanjung pada Januari lepas, turut tidak melepaskan peluang mencuba nasib.

Salim berkata ketika menjadi penuntut lima tahun lepas, beliau berpendapat memiliki ijazah akan memudahkannya mendapatkan pekerjaan.

“Keadaan telah berubah, saya sedar saya harus terus mencuba. Sebenarnya saya harus menguasai  kemahiran komunikasi dengan baik untuk memudahkan mendapat pekerjaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA