
Kementerian Kesihatan (KKM) terus memantau peningkatan kes COVID-19 sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain mengemaskini pendekatan yang akan diambil bagi mengekang penularan virus itu.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata walaupun kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan, namun keadaan masih terkawal berdasarkan kepada data kemasukan pesakit ke hospital akibat jangkitan yang rendah.
“Setakat ini terkawal, macam Omicron walaupun kes naik tapi kemasukan hospital tidak tinggi dan kadar kematian rendah, jadi kita anggap ini adalah gelombang jangkitan tapi dari segi keterukan, tidak berapa teruk,” katanya ketika ditanya mengenai peningkatan kes COVID-19 menjelang PRU15.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kempen Calon Sungai Buloh Sarapan di sebuah restoran di Kota Damansara di sini semalam.
Khairy berkata KKM pada masa sama telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) PRU15 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, jabatan kesihatan di setiap negeri turut diarahkan untuk menyediakan pegawai kesihatan tambahan bagi membantu pesakit COVID-19 keluar mengundi di pusat pengundian masing-masing.
“Cuma kita tidak mahu mereka (pesakit COVID-19) berada di tempat pusat mengundi terlalu lama, pesakit daftar, tunjuk pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat mengundi digital MySejahtera, tidak perlu beratur, mengundi dan terus keluar,” katanya.
Oktober lepas, Khairy memaklumkan kementeriannya akan melaksanakan SOP COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15.
Sumber: BERNAMA