
Malaysia yakin pertanian pintar-iklim mampu menyumbang kepada kemajuan transformasi sistem pertanian bagi memastikan keselamatan makanan dalam iklim yang berubah-ubah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata anjakan menyeluruh ke arah pemodenan diperlukan dan pertanian pintar atau pertanian jitu sememangnya jalan ke hadapan dalam menangani perubahan iklim.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia mengakui bahawa menangani perubahan iklim dan keselamatan makanan tidak boleh dilakukan secara individu.
“Ia adalah kebimbangan global dan memerlukan usaha global yang dirancang oleh pelbagai kerajaan, organisasi antarabangsa, NGO, penyelidik, ahli akademik, sektor swasta, masyarakat tempatan dan individu.
“Dengan itu, Malaysia berharap untuk meneruskan kerjasama serantau dan perkongsian pintar penggubal dasar, saintis, sektor swasta, serta komuniti petani untuk melaksanakan penumpuan kemajuan teknologi, keputusan penggubalan dasar dan pengalaman perniagaan,” katanya.
Ahmad berkata demikian dalam ucaptama pada pembukaan Persidangan dan Pameran Cocotech Antarabangsa ke-50 (COCOTECH 2022) selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
“Akibat perubahan iklim terhadap pertanian termasuk industri kelapa amat merugikan, dengan Malaysia mencatatkan kerugian lebih RM90 juta (US$ 19 juta) dalam industri agromakanan tahun lepas akibat banjir yang menjejaskan 7,460 petani,” katanya.
Kelapa adalah tanaman perindustrian keempat terpenting di Malaysia selepas kelapa sawit, beras dan getah dengan jumlah keluasan tanaman 84,942 hektar dan pengeluaran tahunan sebanyak 560,984 tan membabitkan 66,000 petani.
Seperti negara pengeluar kelapa lain, kebanyakan tanaman kelapa di Malaysia diusahakan secara tradisional oleh petani kecil yang terdedah kepada faktor luaran yang memberi kesan kepada pertanian.
“Impak buruk perubahan iklim adalah satu daripada lima cabaran utama yang dikenal pasti dalam sektor agromakanan Malaysia dan disebabkan ini, kerajaan telah membangunkan hala tuju dasar untuk menangani cabaran tersebut iaitu, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (NAP 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara 2021-2025,” katanya.
Kedua-dua dasar tersebut menggariskan tiga strategi – menggalakkan penggunaan teknologi dan automasi termasuk pendekatan pertanian pintar-iklim, mengukuhkan data tentang keselamatan makanan dan mempergiat penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi amalan pertanian alternatif yang berpotensi untuk pengeluaran makanan.
Bertemakan ‘Strategi Penyesuaian dan Mitigasi Perubahan Iklim Untuk Industri Kelapa Berdaya Tahan dan Mampan, COCOTECH 2022 disertai kira-kira 400 peserta daripada Komuniti Kelapa Antarabangsa (ICC) dan bukan ahli ICC mempamerkan 40 gerai pameran kepada orang ramai.
Sumber: BERNAMA