Posted on: 07/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pembinaan 177 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) baharu sudah mendapat kelulusan dan akan dibina seterusnya beroperasi menjelang tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata beberapa syarikat juga telah disenarai pendek untuk urusan tender bagi projek tersebut.

“Saya difahamkan dua atau tiga syarikat telah disenarai pendek dan terpulang kepada Jawatankuasa Perolehan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), untuk melantik satu atau dua daripada syarikat berkenaan.

“Dijangkakan peruntukan hampir RM300 juta diperlukan untuk membina dan mengoperasikan PEDi baharu ini,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Bersama Komuniti PEDi di Kampung Kadok Dalam, di sini hari ini.

Sementara itu, Annuar berkata  Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kawasan Kadok telah menunjukkan pencapaian yang cukup baik.

“529 premis sudah mempunyai akses perkhidmatan jalur lebar dengan 21 stesen pemancar sudah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G,” katanya.

Sumber: BERNAMA