Posted on: 22/09/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kebenaran telah diberikan kepada penggunaan premis-premis awam dan sekolah-sekolah berasrama yang mempunyai fasiliti yang lengkap dan selesa sebagai pilihan utama pusat pemindahan sementara (PPS) berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Setiausaha Jemaah Menteri merangkap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kebenaran itu diberikan oleh Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan sebagai kesiapsiagaan bagi menghadapi monsun timur laut.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam agar operasi penempatan mangsa  banjir dilaksanakan dengan mengambil kira keselesaan dan kebajikan Keluarga Malaysia secara keseluruhannya.

“Sehubungan itu bagi memastikan kelancaran operasi di lapangan, Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 telah menetapkan bahawa Pegawai Daerah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mempunyai kuasa untuk mengenal pasti dan mengisytiharkan mana-mana premis awam dan sekolah terutamanya sekolah berasrama untuk dijadikan sebagai PPS,” katanya dalam  kenyataan di sini semalam.

Mohd Zuki berkata pelbagai agensi kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat sentiasa bekerjasama dengan erat untuk terus meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bencana. 

“Ini bagi memastikan Keluarga Malaysia yang terkesan mendapat penempatan yang selesa, perlindungan yang selamat serta kebajikan yang terjamin sepanjang berada di PPS,” katanya.

Sumber: BERNAMA