
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menyasarkan mengumpul kira-kira RM30 juta hasil sumbangan peneroka, ahli dan beberapa agensi di bawahnya menerusi Waqaf FELDA menjelang akhir tahun ini.
Pengerusinya Tan Sri Idris Jusoh berkata keseluruhan kutipan setakat 6 Oktober lepas adalah sebanyak RM25.75 juta sejak Waqaf FELDA dilancarkan pada November 2021 dan jumlah itu dijangka meningkat susulan kutipan dana masih diteruskan.
“Inilah yang kita budayakan di FELDA kerana kita bukan hanya mahu melihat FELDA berjaya tetapi berjaya dalam keberkatan. Ini merupakan wakaf korporat bermakna ia tidak boleh diguna terus.
“Wakaf ini yang hanya boleh digunakan adalah keuntungan daripada dana tersebut dan kita akan ada satu jawatankuasa yang meneliti penggunaannya. Sebanyak 60 peratus akan dimasukkan kembali ke tabung agar ia terus berkembang manakala selebihnya akan diguna untuk kebajikan, pendidikan dan (bantu) kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Masuk Rancangan di Dewan Semai Bakti FELDA Neram 2, Kemaman dekat sini semalam.
Menurut Idris, inisiatif Sedekah RM300 di bawah Waqaf FELDA yang dimulakan sejak awal tahun ini juga berjaya mengumpul dana sebanyak RM7.7 juta hasil kutipan daripada wakaf peneroka dan petugas FELDA, setakat Oktober lepas.
Mengenai program ini, Idris berkata ia bertujuan memberi penerangan kepada peneroka berhubung kejayaan yang dicapai FELDA sejak dua tahun lepas supaya mereka tidak terdedah dengan fakta-fakta yang tidak sahih.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Peneroka FELDA Neram 2 Datuk Bahri Abdullah.
Program itu turut disusuli dengan sesi penyampaian replika ‘Coding and Robotic’ kepada 10 sekolah di Felda wilayah Terengganu dan penghargaan kepada penyumbang wakaf tertinggi.
Sumber: BERNAMA