Posted on: 08/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Program dua hala rasmi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Australia (ADF) sempena Indo-Pacific Endeavour 2022 (IPE 22) – Visit To Malaysia yang bermula semalam, mampu meningkatkan hubungan diplomasi ketenteraan dan pertahanan kedua-dua negara.

Bahagian Hal Ehwal Awam (BHEA ATM) dalam kenyataan semalam memaklumkan program anjuran ADF-Maritime Task Group itu melibatkan kerjasama antara Perkhidmatan Kesihatan ATM (PKAT) dan Perkhidmatan Tentera Laut Australia.

Menurut kenyataan itu, ADF hadir dengan dua kapal tentera iaitu HMAS ADELAIDE jenis Landing Helicopter Dock (LHD) dan HMAS ANZAC jenis Frigate yang memulakan pelayaran dari Pelabuhan Visakhapatnam, India pada 1 November lepas dan tiba di perairan Selat Melaka, semalam. 

“Acara ini dimulakan dengan demonstrasi evakuasi aeromedical oleh ADF dari kapal HMAS ADELAIDE menggunakan helikopter tentera Australia dengan membawa pesakit ke Hospital Medan ATM di padang Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN), Kem Terendak, Melaka.

“Demonstrasi berkenaan disaksikan oleh Commanding Surgeon General Laksamana Muda ADF Sarah Sharkey, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan ATM pula telah menganjurkan pameran Hospital Medan ATM dengan Sharkey diberi penghormatan merasmikan Battlefield Trauma Care Simulation Centre yang telah disumbangkan oleh ADF melalui Malaysia-Australia Joint Defence Program di Auditorium Bangunan Akademik INSAN.

Battlefield Trauma Care Simulation Centre merupakan ruang menempatkan kemudahan peralatan simulasi untuk melatih anggota perubatan ATM untuk bertindak pantas dan tepat dalam memberi rawatan kecemasan kepada pesakit di pelbagai peringkat hospital mahupun prahospital.

“Program ini khususnya dalam bidang perubatan dan kesihatan ketenteraan dilihat dapat membantu Perkhidmatan Kesihatan ATM dalam pembangunan kapasiti bagi menyokong operasi ketenteraan serta memberi respons optimum ketika misi bantuan kemanusiaan atau ketika krisis di dalam atau luar negara,” menurut kenyataan itu.

BHEA ATM memaklumkan hari ini, ADF menerusi Key Leader Engagement (KLE) akan melakukan kunjungan hormat ke atas Dr Zulkeffeli, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai dan Ketua Pengarah Hidrografi Laksamana Muda Datuk Hanafiah Hassan di Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia.

“Seminar Women, Peace and Security (WPS) juga akan diadakan hari ini di Wisma Pertahanan melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia;  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia bersama Australian Ambassador for Women and Girls, Christine Blake,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA