
Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan RM5.2 juta bagi membiayai program Rumah Sejahtera di Lipat Kajang, membabitkan pembinaan 50 unit rumah.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pembangunan perumahan di atas tanah disediakan kerajaan negeri itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah atau B40 mempunyai kediaman sendiri.
“Setiap rumah berharga RM40,000 seunit dan kerajaan akan menangggung subsidi berjumlah RM20,000 manakala baki RM20,000 ditanggung sendiri oleh pemilik melalui pembiayaan pinjaman dari Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Pihak kerajaan menerima banyak permohonan namun ia diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja dan kita berharap rumah ini dihuni sendiri pemiliknya dan tidak dijual atau disewakan kepada pihak lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada 50 Penerima Program Rumah Sejahtera yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I Datuk Seri Ahmad Hamzah dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin Datuk Roslan Ahmad.
Mengulas lanjut Sulaiman setiap rumah itu berkeluasan 750 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air, dan akan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada hujung November ini.
“Projek ini merupakan satu manifestasi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di mana tapisan kelayakan dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka (LPM), BSN serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Kerajaan negeri juga berharap projek pembangunan seumpama ini dapat diperluaskan di daerah atau Parlimen lain pada masa akan datang, justeru untuk memastikan hasrat ini dapat direalisasikan pentingnya mempunyai kerajaan mempunyai kestabilan dan kemakmuran,” katanya.
Sumber: BERNAMA