Posted on: 09/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerjasama strategik antara kerajaan Melaka dan kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai program tawaran peluang pekerjaan termasuk Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dilihat membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka Abd Razak Omar berkata melalui inisiatif Kementerian Sumber Manusia di bawah agensi Perkeso itu, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi memastikan pencari kerja memperoleh pekerjaan dengan mudah dan cepat.

Katanya sehingga Oktober tahun ini, secara keseluruhannya seramai 4,365 individu berjaya mendapatkan pekerjaan melalui inisiatif Jamin Kerja itu.

Abd Razak berkata antara aktiviti dilaksanakan agensi itu adalah Karnival Kerjaya Melaka Careertrans, Program Outreach Kerjaya di Kawasan Luar Bandar dan Temu Duga Terbuka di Pejabat Perkeso dan Pusat Satelit ‘Myfuturejobs’. 

“Pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang berlangsung selama tiga hari pada bulan lepas berjaya menarik lebih 6,500 pengunjung dengan 1,102 individu mendapat pekerjaan, manakala 3,988 mara ke saringan temu duga peringkat seterusnya,” katanya kepada Bernama di sini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata pada tahun ini Perkeso juga melaksanakan Program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans pada 18 dan 19 Jun dengan 582 orang berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Selain itu, salah satu strategi  lain ialah memperkenalkan Portal Pekerjaan Negara ‘Myfuturejobs’  iaitu satu pusat sehenti dan rujukan utama kepada rakyat bagi inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula. 

“Kerajaan juga melaksanakan inisiatif seperti Program Subsidi Upah, Penjana Kerjaya selain Jamin Kerja yang menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran di Melaka,” katanya.

Menurut beliau berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kesan pandemik COVID-19 menyebabkan berlaku peningkatan kadar pengangguran negara kepada 4.8 peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus pada 2019.

“Kesan ini turut dirasai di Melaka iaitu kadar pengangguran pada 2020 adalah sebanyak 3.7 peratus berbanding 1.6 peratus pada 2019. Kini kadar pengangguran di negeri ini telah menurun kepada 3.2 peratus pada suku kedua 2022,” katanya.

Sumber: BERNAMA