Posted on: 10/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memperuntukkan sejumlah RM7.33 juta bagi elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pahang tahun ini bagi memastikan fungsi dan operasi pentadbiran kampung berjalan baik serta berkesan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peruntukan tersebut membuktikan kemampuan kerajaan dalam menguruskan hasil negara bagi tujuan kebajikan, khususnya melibatkan JPKK yang dilantik dalam kalangan penduduk untuk mentadbir sesebuah kampung. 

“Pada masa ini, pengerusi dan setiausaha JPKK masing-masing menerima elaun RM500 dan RM300 sebulan dan kerajaan Pahang pula menambah RM250 sebulan bagi elaun pengerusi JPKK bagi 6,974 orang pengerusi di negeri ini.

“Selain itu, JPKK turut diberi imbuhan lain seperti elaun pengendalian mesyuarat dan elaun kehadiran mesyuarat bagi memastikan fungsi JPKK dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan,” katanya dalam kenyataan media yang diedarkan pada Program Salam Desa anjuran KPLB di Kuala Lipis, dekat sini semalam. 

Mengenai program itu, Abdul Rahman berkata ia diadakan bagi menyantuni dan menghargai JPKK yang telah berkhidmat selain memberikan maklumat terkini mengenai bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan terutamanya kepada masyarakat luar bandar. 

“Pada era digital, boleh dikatakan semua barisan JPKK terdiri daripada mereka yang celik dan cakna kepada teknologi meliputi penggunaan telefon pintar dan mampu akses kepada Internet dan menggunakan komputer,” katanya. 

Justeru beliau berkata tiada masalah untuk pihak JPKK menerima maklumat dan menyampaikannya dengan pantas dan cepat kepada komuniti di kampung.

Mengenai latihan kepada JPKK, beliau berkata pelbagai program pembangunan modal insan, pengukuhan pentadbiran dan kursus bersesuaian akan ditambah dan dilaksanakan bagi memastikan keberadaan dan kesiapsiagaan JPKK untuk berkhidmat kepada komuniti di bawah seliaan mereka.

Sumber: BERNAMA