Posted on: 10/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan negeri mengumumkan pemberian rebat sebanyak 12 peratus kepada 49,280 pemilik akaun yang terjejas akibat ketiadaan bekalan air di Pasir Gudang, baru-baru ini. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat pembekal air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd. 

Beliau berkata pemberian rebat itu termasuk pengguna domestik, domestik pukal, institusi keagamaan dan kebajikan.

“Diharap inisiatif ini dapat membantu meringankan sedikit beban pengguna. Sekali lagi, saya ingin memohon maaf kepada penduduk dan sektor perniagaan yang telah mengalami kesulitan akibat insiden ini. 

“Meskipun masalah kebocoran paip yang berlaku adalah di luar jangka, namun kerajaan negeri akan pastikan prosedur yang lebih berkesan untuk menangani isu sebegini, jika ia berlaku lagi, ” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam.

Onn Hafiz berkata isu ketiadaan air adalah perkara serius yang tidak akan dipandang ringan oleh kerajaan negeri dan akan sentiasa memantau masalah berbangkit untuk diselesaikan, demi keselesaan hidup Bangsa Johor.

Pada 28 Oktober lepas, lebih 50 kawasan di Pasir Gudang mengalami masalah bekalan air akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam yang berlaku di luar jangkaan, ketika menjalankan kerja-kerja teknikal.

Bagaimanapun, kerja-kerja pembaikan itu pulih sepenuhnya pada 4 November lepas.

Sumber: BERNAMA