Posted on: 11/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Inisiatif kerajaan Sarawak untuk menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G diperhebat  menerusi pemeteraian memorandum persefahaman antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan empat rakan industri semalam, serta satu perjanjian tiga pihak.

Menteri Utiliti dan Komunikasi negeri Datuk Julaihi Narawi yang menyaksikan majlis pemeteraian itu di sebuah hotel terkemuka di sini bersama Pengerusi SDEC Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani, berkata kolaborasi itu adalah antara usaha menyatukan semua pihak untuk bekerjasama melaksanakan inisiatif tersebut.

“Kita perlu melakukannya (pelaksanaan 5G) langkah demi langkah dan proses ini mengambil masa untuk diimplementasikan. Menerusi kolaborasi ini, (penyelesaian bagi) isu telekomunikasi terutama di kawasan luar bandar juga dapat disegerakan,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Beliau berkata kerjasama itu akan menggalakkan pembangunan progresif dan kemajuan bukan sahaja industri telekomunikasi malah industri utama lain dari segi penggunaan sumber dan penjimatan kos.

“Kita mengikut perancangan dan menuju sasaran. Inisiatif ini berjalan dan harap kita dapat mencapai 100 peratus liputan Internet menjelang 2030,” katanya.

Rakan kerjasama SDEC yang terlibat dalam MoU itu ialah Sarawak Energy Berhad (SEB), Centre for Technologi Excellence (CENTEXS), People Psyence® Sdn Bhd dan Ecotane Sdn Bhd.

MoU antara SDEC dan SEM menandakan kolaborasi mereka, sebagai pemain  utama dalam menyokong kelestarian dan ekonomi digital Sarawak, dalam pembangunan infrastruktur masing-masing sebagai usaha mempercepat pendigitalan negeri.

MoU kedua adalah antara SDEC dan CENTEXS untuk mewujudkan dan menguruskan pusat ujian bandar pintar 5G menerusi rangkaian 4G/5G serta membina tapak hab telekomunikasi dan taman data mini pusat bandar pertama di Sarawak.

SDEC turut menjalin kerjasama dengan  People Psyence® Sdn Bhd dalam bidang perolehan bakat digital serta  pemadanan  dan pengurusan menerusi solusi, manakala MoU keempat bersama  Ecotane Sdn Bhd adalah  bagi penyelesaian menyeluruh untuk ladang hidroponik vertikal serta  Internet pelbagai Benda (IoT) pertanian dalam bangunan pintar.

Sementara itu, perjanjian tiga pihak iaitu antara SDEC, CENTEXS dan Netafim (Thailand) Co. Ltd bertujuan membangunkan platform pembelajaran pertanian bagi meneroka teknologi dan mengasah bakat di Sarawak.

Sumber: BERNAMA