Posted on: 11/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Mengenai Kesesakan di Tambak Johor, telah bersetuju untuk menambah baik lima inisiatif sedia ada bagi mengurangkan kesesakan di tambak berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata inisiatif tersebut, termasuk penambahan 25 kaunter pagar automatik motosikal (MBIKE), satu Command Centre mini dan empat lorong kastam di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), sebagai tambahan kepada 50 MBIKE sedia ada.

“Selain itu, menaik taraf terminal bas import dan eksport termasuk penambahan bumbung di kawasan parkir bas di KSAB; dan melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Perancangan Masa Hadapan, dengan mengambil kira peningkatan penumpang yang melebihi kapasiti kedua-dua Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ).

“Hebahan dan pemakluman juga secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran melalui papan iklan digital; dan keperluan untuk meneliti penggunaan teknologi bagi penguatkuasaan oleh agensi yang beroperasi di Tambak Johor,” kata beliau dalam kenyataan, semalam.

Wan Ahmad Dahlan berkata sehingga hari Rabu (9 November), 13 daripada 23 inisiatif bagi menangani isu kesesakan di ICQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KSAB telah selesai, manakala enam lagi sedang dilaksana dan empat masih belum dilaksanakan.

Beliau berkata sebanyak 30 projek atau 81 peratus daripada 37 projek menaik taraf, telah siap dilaksanakan dan kesemua inisiatif tersebut dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan iaitu jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

“Jawatankuasa ini merupakan mekanisme yang diwujudkan bagi menyelaras dan memantau kesemua 23 inisiatif melalui lima Kumpulan Kerja Teknikal. Laporan pelaksanaan status kesemua inisiatif dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara berkala,” kataya.

Wan Ahmad Dahlan berkata perancangan masa hadapan akan mengambil kira cadangan penggunaan kaedah bayaran tol terkini menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio Malaysia (MyRFID), oleh sekurang-kurangnya 65,000 kenderaan dari Singapura yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di pintu masuk negara.

Beliau berkata agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan JPJ, akan memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi oleh semua pengguna bagi menjamin kelancaran aliran trafik di Tambak Johor.

“Jawatankuasa ini memandang serius isu kesesakan di ICQ BSI dan KSAB serta komited dalam memastikan semua inisiatif ini dapat dilaksanakan.

“Pelaksanaan kesemua inisiatif ini merupakan usaha bersepadu daripada semua pihak yang terlibat di Tambak Johor, bertujuan bukan sahaja untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, malah untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan Wan Ahmad Dahlan di ICQ BSI itu dihadiri Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, PDRM, JIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, JPJ dan JKR.

Sumber: BERNAMA