Posted on: 11/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan memberi pampasan kepada pengguna transit aliran ringan (LRT) yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan dengan melanjutkan tempoh sah laku pas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata lanjutan tempoh sah laku pas itu seperti  My50, iaitu pas tanpa had untuk pengguna perkhidmatan Rapid KL,  akan bergantung kepada pihak pengurusan Prasarana.

“Kami  melihat tidak adil jika seminggu tidak boleh guna (LRT) tetapi tetap membayar. Tempoh sah laku akan dilanjutkan, berapa lama bergantung kepada pengurusan Prasarana.

“Saya telah dapat kepastian daripada Prasarana, itu yang akan dilakukan,” katanya dalam sidang media berhubung isu gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, di sini hari ini.

Prasarana telah mengumumkan 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November lepas ekoran gangguan sistem.

Sumber: BERNAMA