Posted on: 13/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia (PEDi) menjadi antara platform utama bagi usahawan khususnya di luar bandar di negeri ini menjana pendapatan menerusi e-dagang sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

Usahawan produk kuih sejuk beku, Nabihah Karim berkata perniagaannya semakin berkembang sejak mendapat pendedahan menerusi inisiatif PEDI Taman Bandar Baru Masjid Tanah, dengan jumlah jualan melonjak kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.

“Lebih membanggakan apabila  pasaran biskut, tart, manisan dan makanan sejuk beku yang saya usahakan kini semakin meluas hingga ke Singapura,” katanya kepada Bernama. 

Menurutnya sejak menjadikan  PEDi sebagai platform pembelajaran bagi meningkatkan pasaran produknya, banyak  perubahan yang dilihat  terutama berkaitan jualan secara dalam talian, selain dapat menimba ilmu dan panduan tentang perniagaan.

Sementara itu, Penyelaras PEDi Klebang Besar Natasya Alia A. Rumzi berkata kewujudan pusat digital tersebut sangat membantu usahawan di beberapa kampung sekitar seperti Pulau Gadong, Kampung Permatang, Balik Buloh,  Bertam Perdana, Cheng dan Jalan Pulau Gadong, yang ingin membangunkan perniagaan serta produk mereka menerusi inisiatif Rakan Digital (RD). 

Beliau berkata jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi program ‘webinar’ berkaitan pendaftaran perniagaan, turut mendedahkan usahawan dari aspek perundangan agar perniagaan mereka sah dan tidak diragui.

“Kelas  percuma seperti e-dagang juga dilihat dapat meningkatkan ilmu perniagaan,  manakala program secara langsung (live) di laman sosial memberi peluang kepada usahawan menerokai ruang pemasaran produk mereka dengan lebih meluas,” katanya. 

RD PEDi Klebang Besar Hamizah Mohamed Razalli pula berkata pihaknya terus proaktif dalam membantu usahawan setempat agar celik teknologi  dan mempertingkat kebolehan mereka dalam platform e-dagang.

“Di RD ini, terdapat 10 usahawan yang aktif menjalankan perniagaan seperti makanan, jahitan dan khidmat hadiah bouquet. Kami akan terus membimbing mereka terutama dalam kalangan yang berusia dan tidak mahir teknologi,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata berikutan maklum balas positif yang diterima, agensi itu merancang menambah sembilan PEDi baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 39 PEDi di negeri ini menjelang tahun hadapan.

“Bagi tempoh antara 2017 dan September 2022, jumlah pengunjung PEDi di Melaka mencecah hampir 40,000 orang dan seramai 908 usahawan dibantu oleh PEDi untuk menjalankan perniagaan dalam talian.

“Ini membuktikan kewujudan PEDi berjaya menjadi platform bantuan kepada usahawan  mendapatkan pelbagai program berkaitan teknologi dan  latihan keusahawanan serta tunjuk ajar,” katanya. 

Sumber: BERNAMA