Posted on: 14/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Kemboja yang berakhir pada Ahad mencapai keputusan bermakna ke arah kerjasama serantau untuk memulihkan sosioekonomi pasca pandemik COVID-19.

“Dalam tempoh empat hari ini, kami telah mengadakan perbincangan yang komprehensif dan produktif mengenai langkah ke hadapan untuk mengukuhkan pemusatan ASEAN dan nilai kami dalam hubungan dengan rakan kongsi luar, terutama ketika dunia sedang menghadapi isu serantau dan antarabangsa yang kompleks yang berkembang pesat, ” Xinhua memetik Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen sebagai berkata pada majlis penutupan sidang kemuncak empat hari itu.

Sebanyak 70 dokumen keputusan dan pengisytiharan yang merangkumi tiga tonggak komuniti ASEAN telah diterima pakai dan dicatat pada sidang kemuncak itu, dengan pelbagai rangka kerja kerjasama dengan rakan dialog disahkan, kata Hun Sen.

Bagi pembangunan  komuniti ASEAN, sidang kemuncak itu menerima pakai Kenyataan Pemimpin ASEAN pada Ulang Tahun Ke-55 ASEAN, Kenyataan Wawasan Pemimpin ASEAN mengenai ASEAN A.C.T: Menangani Cabaran Bersama, dan Kenyataan Pemimpin ASEAN mengenai Agenda Kesalinghubungan ASEAN Pasca-2025, katanya.

Pada Jumaat, para pemimpin ASEAN pada dasarnya bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, menurut kenyataan pemimpin ASEAN.

“Saya ingin menegaskan bahawa pemusatan ASEAN adalah penggerak utama untuk dialog substantif dan kerjasama dengan rakan kongsi luar kami melalui pelbagai mekanisme yang diterajui ASEAN,” kata Hun Sen.

Pada majlis penutupan itu, Hun Sen menyerahkan tukul kayu Kerusi ASEAN kepada Presiden Indonesia Joko Widodo selaku tuan rumah ASEAN 2023.

ASEAN  dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand,dan Vietnam.

Sumber: BERNAMA