
Kerajaan mengumumkan 18 dan 19 November sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Beliau berkata Sabtu, 19 November itu turut diumumkan sebagai hari kelepasan am kerana terdapat kemungkinan syarikat-syarikat swasta, terutamanya kilang yang tidak tutup pada hari berkenaan, menyebabkan pekerja mereka tidak boleh mengundi.
“Hak mengundi adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan dan saya tidak mahu satu orang pun yang dihalang daripada mengundi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Putrajaya di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian, manakala hari ini ialah hari pengundian awal.
Pada 7 November, Cuepacs mencadangkan kerajaan mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 November untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada PRU15, dan pada 8 November, Ismail Sabri dilaporkan berkata cadangan itu akan dipertimbangkan.
Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi November 2022 diawalkan pada 17 November dan untuk pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 November.
“Ini diharapkan dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari sempena PRU15, bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung halaman untuk mengundi.
“Tol percuma tersebut akan bermula dari pukul 12.01 tengah malam 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November melibatkan semua kenderaan jenis persendirian, Kelas 1 sahaja dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya,” katanya.
Sumber: BERNAMA