Posted on: 15/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Aduan integriti ke atas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah berkurangan kepada 20 aduan tahun ini berbanding 28 pada 2021, kata Ketua Setiausahanya Datuk Seri Mohammad Mentek. 

Beliau berkata berdasarkan data yang diperoleh daripada Unit Integriti K-KOMM, sebanyak 31 aduan integriti dicatat pada 2020.

“Daripada jumlah aduan itu, kesemuanya telah berjaya kita selesaikan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Integriti K-KOMM tahun 2022 di sini, hari ini. 

Beliau berkata K-KOMM serta 10 jabatan dan agensi di bawahnya telah berjaya mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) setelah kerajaan melaksanakan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP) untuk peringkat nasional.

“Melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Anti Rasuah (JKKMAR) Bil 1/2022, Kerajaan juga telah bersetuju supaya semua Kementerian dan Jabatan mendapatkan persijilan ISO 37001-  Sistem Pengurusan Anti Rasuah sebagai nilai tambah kepada usaha kerajaan menangani isu ketirisan dan penyelewengan.

“Kewujudan OACP di peringkat kementerian dan jabatan membuktikan komitmen serta kesungguhan K-KOMM terhadap perkara-perkara berkaitan integriti dan rasuah,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Razim bin Mohd Noor berkata sejumlah 5,599 tangkapan telah dibuat sepanjang enam tahun sehingga Oktober lepas dengan 2,307 telah dituduh dan 1,264 disabitkan kesalahan rasuah.

“Daripada jumlah tersebut, 48.8 peratus atau 2,546 merupakan penjawat awam dan paling membimbangkan 57.8 peratus daripada jumlah berkenaan adalah penjawat awam belia berumur di bawah 40 tahun.

“Antara kesalahan yang direkodkan pula adalah 44.3 peratus kes menerima suapan dan 30 peratus berkaitan tuntutan palsu, melibatkan isu perolehan (24.1 peratus), isu penguatkuasaan (24.4 peratus) dan isu pentadbiran sebanyak 37.4 peratus.

“Statistik ini agak membimbangkan kerana sekiranya ia dibiarkan, dikhuatiri sistem pentadbiran kerajaan yang dipelopori oleh generasi belia yang bakal menerajui jawatan-jawatan penting jabatan akan rosak,” katanya. 

Pada majlis yang bertemakan ‘Integriti Teras Keluarga Malaysia’, Mohammad turut mengetuai seramai 300 warga K-KOMM yang hadir secara fizikal dan maya membacakan Ikrar Bebas Rasuah.

Sumber: BERNAMA