Posted on: 16/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Penggunaan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diperluas kepada warga asing yang memegang pas lawatan jangka panjang berkuat kuasa semalam.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata perluasan kemudahan yang sebelum ini terhad kepada warga Malaysia itu dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di KLIA.

Beliau berkata pemegang pas lawatan jangka panjang yang dibenarkan menggunakan kemudahan pagar automatik itu merangkumi mereka yang bekerja dan belajar di Malaysia, ekspatriat dan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Perluasan ini dibuat dengan tujuan memudahkan urusan kemasukan warga asing dan mempercepat  urusan pemeriksaan untuk kategori lain,” katanya selepas melancarkan kemudahan pagar automatik itu untuk warga asing di sini semalam.

Khairul Dzaimee berkata kemudahan berkenaan  boleh digunakan warga asing yang mempunyai pasport mengandungi cip dan mematuhi standard penetapan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Beliau berkata perluasan kemudahan yang dijangka memanfaatkan lebih 1.8 juta warga asing itu telah dilaksanakan secara rintis mulai 16 September lepas dan ia juga telah digunakan oleh 1,910 pemegang pas jangka panjang yang memasuki Malaysia.

Ditanya sama ada perluasan sistem itu akan merisikokan negara, beliau berkata tahap keselamatan kemudahan pagar automatik di KLIA adalah tinggi.

“Pagar automatik itu tidak akan dibuka jika mereka yang cuba menggunakannya adalah daripada kategori yang disenarai hitam.  Pegawai Imigresen juga akan ditempatkan di sekitar pagar automatik itu untuk membantu warga asing menggunakannya,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya juga sedang mengkaji perluasan kemudahan pagar automatik itu kepada warga Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lepas, jumlah ketibaan warga asing di semua pintu masuk negara adalah seramai 10,400,045 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 50,769 warga asing telah ditolak kemasukan ke dalam negara atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Ada warga asing yang telah dihantar menggunakan Program Rekalibrasi Pulang cuba masuk semula ke Malaysia dengan menggunakan alasan untuk melancong,” katanya.

Sumber: BERNAMA