Posted on: 16/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan terus proaktif dalam mempertingkatkan tahap keselamatan nelayan terutama menjelang musim monsun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata langkah itu termasuklah peruntukan RM100,000 melalui kerajaan negeri bagi perolehan peralatan keselamatan nelayan di laut. 

“Seperti hari ini, kita serahkan jaket keselamatan dan lampu kepala kepada 1,157 nelayan berdaftar di Melaka sebagai usaha memastikan keselamatan mereka ketika di laut. Selain itu, kita juga sentiasa memantau, menaik taraf keselamatan bot nelayan. Jika ada yang uzur atau perlukan pembaikan, kita akan bantu dengan cara bersesuaian,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa sidang media pada Program Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup Secara One Off kepada nelayan negeri Melaka (Bayaran Keempat) di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini hari ini.

Pada program berkenaan, seramai 327 nelayan berdaftar di daerah Alor Gajah menerima insentif bagi kali keempat berjumlah RM250 setiap seorang sama ada pemilik bot atau awak-awak. 

Ahmad berkata beliau berharap bantuan berkaitan keselamatan nelayan ketika di laut itu digunakan sebaik mungkin.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan tahap keselamatan pada bot dan  langkah-langkah keselamatan yang diambil nelayan kita. Dalam masa yang sama, kita akan pastikan nelayan meningkatkan tahap penjagaan bot mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri tidak menggalakkan nelayan untuk turun ke laut berikutan risiko musim tengkujuh yang sudah bermula.

“Bagaimanapun kita tidak menghalang mana-mana nelayan yang hendak turun kerana mereka tahu tentang keadaan laut dan cuaca.  Tidak semestinya kita menyerahkan diri kepada risiko yang tinggi,” kata Ab Rauf yang juga Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.

Sumber: BERNAMA