Posted on: 16/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Seramai 43,123 usahawan telah mendaftar menerusi inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) sejak Januari 2021 hingga 31 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata jumlah tersebut merangkumi 19,758 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa dan 23,365 daripada kalangan usahawan B40.

Beliau berkata inisiatif tersebut memberi peluang kepada golongan berkenaan mendaftarkan perniagaan secara sah di sisi undang-undang dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 secara percuma.

“Memiliki entiti perniagaan yang sah di sisi undang-undang membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan ditawarkan oleh pihak kerajaan seperti bantuan kewangan, peralatan, latihan dan bimbingan keusahawanan.

“Perniagaan yang sah juga membolehkan mereka merebut pelbagai bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan serta memberi keyakinan kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) peringkat zon Pantai Timur di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Rosol berharap pendedahan awal terhadap asas kemahiran keusahawanan akan memberi nilai tambah kepada mahasiswa IPT dalam mendepani cabaran persaingan peluang pekerjaan yang sengit.

“Disebabkan terlalu ramai mahasiwa yang keluar daripada IPT, maka persaingan agak sengit untuk mendapatkan tempat dan mengisi kekosongan pekerjaan yang ada, sedangkan beratus-ratus lagi turut memohon jawatan sama.

“Justeru, jawapan kepada masalah tersebut ialah mahasiwa perlu melengkapkan diri dengan apa sahaja bentuk kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan atau mana-mana institusi supaya ia dapat menjamin kerjaya yang lebih cerah sekali gus mengelakkan pengangguran,” katanya.

Sumber: BERNAMA