Posted on: 17/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Tiada lorong khas disediakan bagi individu positif COVID-19 mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, namun mereka diwajibkan memakai topeng muka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kementeriannya telah merumuskan pilihan terbaik untuk kelompok pengundi ini dengan mengambil kira sumber yang ada serta kekangan lain.

“Tidak boleh ada lorong khas.. kami telah memutuskan pilihan terbaik, selepas mengambil kira sumber yang ada serta pelbagai kekangan, seperti ruang dan tenaga kerja. Jadi prosedur operasi standard (SOP) adalah seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, di sini semalam.

Isnin lepas Dr Noor Hisham dilaporkan berkata individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 diwajibkan memakai pelitup muka, manakala penggunaan pelitup muka untuk pengundi lain amat digalakkan, dan mereka juga tidak dibenarkan menggunakan khidmat pengangkutan awam, termasuk e-hailing.

Sumber: BERNAMA