Posted on: 17/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek dilantik sebagai seorang daripada empat penasihat industri di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB). 

Watikah pelantikan Mohammad diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) K-KOMM Mastura Ahmad Mustafa, yang mewakili beliau, pada majlis pengiktirafan alumni UKM-GSB di sini semalam.

Watikah itu diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM Profesor Datuk Dr Norazah Mohd Nordin.

Menurut kenyataan UKM, tiga lagi penasihat industri yang dilantik ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, Ketua Eksekutif Negara dan Pengarah Bureau Veritas Malaysia bagi Komoditi, Industri dan Fasiliti Rantau Asia Tenggara Datuk Mohd Nizam Abdul Malik serta Ahli Lembaga Malaysia Venture Capital Management Berhad Manokaran Mottain.

Kenyataan itu memaklumkan penasihat industri UKM-GSB yang dilantik itu antara lain berperanan memberi khidmat nasihat berkaitan  kualiti kurikulum program akademik dan hal ehwal berkaitan akreditasi di universiti berkenaan.

Pada majlis itu, Norazah turut melancarkan Tabung Sarjana GSB-Konsortium Universiti Malaysia (CMU) bernilai RM100,000.

Tabung CMU, yang dipengerusikan oleh seorang alumni UKM iaitu Datuk Seri James Wong Tze Wei, bertujuan meningkatkan lagi aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat universiti itu.

Sumber: BERNAMA