Posted on: 22/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Enam negeri masih terkesan banjir, dengan 13 daerah di Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sarawak masih terjejas setakat 4 petang semalam, menurut  Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan  seramai 1,443 mangsa daripada 409 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan masih berada di 29  pusat pemindahan sementara (PPS), menurun berbanding laporan pukul 8 pagi yang mencatatkan 1,659 mangsa daripada 457 KIR yang masih berlindung di PPS.

Nadma berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri atau Daerah perlu diaktifkan, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana susulan Notis Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan MetMalaysia petang semalam.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga 4 petang tadi empat sungai merekodkan bacaan paras air berada di tahap bahaya iaitu Marudi, Long Jegan dan Long Teru di Miri, Sarawak serta Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor.

Enam sungai dengan bacaan air di tahap amaran pula adalah Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat di Selangor;  dua sungai di Bera, Pahang iaitu Sungai Serting di Jambatan Padang  Gudang  dan  Sungai Triang di Triang;  manakala  di Segamat, Johor melibatkan Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Muar di Kampung Awat.

Menurut Nadma, Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 10 pagi melaporkan tiga lokasi terkesan kejadian banjir, tujuh lokasi cerun runtuh, dua lokasi jalan mendap dan dua lokasi terdapat kejadian jambatan rosak atau runtuh, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 14 lokasi. 

“Kejadian-kejadian ini berlaku di dua daerah di Kedah, satu di Perak, satu di Selangor dua di Negeri Sembilan, dua di Kelantan, satu di Terengganu, satu di Pahang dan satu di Johor yang melibatkan enam Jalan Persekutuan dan lapan jalan negeri,” kata kenyataan itu. 

Sumber: BERNAMA