Posted on: 22/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah akan membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10 dalam masa terdekat.

Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya menerima apa sahaja keputusan berkaitan pelantikan tersebut serta pembentukan kerajaan baharu kelak.

“Marilah bersama terima keputusan rakyat, terima keputusan wakil-wakil rakyat dan terima keputusan Yang di-Pertuan Agong. Sila rasional dan kita perlu teruskan, kita perlu bergerak ke hadapan untuk negara kita yang tercinta ini.

“Biar saya buat keputusan dalam masa terdekat,” titah Al-Sultan Abdullah ketika berkenan mencemar duli bertemu pemberita di hadapan Pintu 2, Istana Negara di sini hari ini.

Semalam, Istana Negara menerusi satu kenyataan memaklumkan Seri Paduka berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik dan gabungan parti politik untuk mengemukakan gabungan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri hingga 2 petang ini.

Sumber: BERNAMA