
Pulau Pinang merekodkan 209 kes penderaan melibatkan kanak-kanak sepanjang 2022, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Chong Eng berkata daerah Seberang Perai Tengah merekodkan jumlah penderaan fizikal, seksual, emosi, dan pengabaian yang paling tinggi iaitu 97, diikuti Timur Laut (58), Seberang Perai Utara (21), Barat Daya (19) dan Seberang Perai Selatan (14).
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memberikan langkah segera dan sokongan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP) jabatan seperti menyelamatkan kanak-kanak dalam tempoh 10 jam selepas aduan atau maklumat berkaitan penderaan diterima,” katanya di sini.
Beliau menjawab soalan Kumaresan Arumugam (PKR-Batu Uban) mengenai jumlah kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak, langkah sokongan oleh kerajaan negeri kepada mangsa dan punca penderaan berlaku.
Chong Eng berkata JKM juga akan membawa mangsa ke hospital untuk mendapat rawatan yang sewajarnya jika ada keperluan dan pengesahan Pegawai Perubatan berkaitan penderaan selain menyediakan khidmat nasihat dan intervensi kaunseling.
“Faktor dan punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah termasuk masalah kewangan, kecuaian ibu/bapa/penjaga/pengasuh, pengaruh siber dan masalah kesihatan ibu/bapa/penjaga/pengasuh,” katanya.
Sumber: BERNAMA