Posted on: 23/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semalam mengumumkan kesinambungan program penyelesaian masalah di peringkat kementerian dan agensi kerajaan iaitu MYHackathon 2022 – Kohort 2.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata program dilaksanakan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) itu, merupakan lanjutan daripada MYHackathon 2022 – Kohort 1 yang diadakan pada Julai lepas.

Katanya program itu menyasarkan penyertaan syarikat pemula niaga, pembangun perisian, pengekod dan individu berkemahiran dalam bidang teknologi untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam menghasilkan solusi kepada masalah dikemukakan.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk syarikat pemula niaga  atau individu menawarkan penyelesaian digital bagi menambah baik kualiti penyampaian kerajaan, seterusnya mengetengahkan idea dan inovasi masing-masing untuk dikomersialkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengekalkan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia Yang Inklusif’, kohort kedua program berkenaan  telah bermula semalam hingga 28 November dengan 130 penyertaan setakat ini.

Terdapat lima pernyataan masalah dikemukakan oleh pihak kementerian dan agensi kerajaan bagi MYHackathon 2022 – Kohort 2, yang menawarkan hadiah geran permulaan sehingga RM250,000 kepada pemenang untuk membangunkan projek rintis serta bimbingan pelaksanaan projek secara ‘one-to-one’ selama 12 bulan.

Sumber: BERNAMA