
Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perkongsian South-East Asia Cybersecurity Consortium (SEA CC) bagi mengukuhkan kerjasama serantau dalam bidang keselamatan siber.
MBOT dalam kenyataan semalam berkata MoU itu ditandatangani untuk mewujudkan asas rasmi bagi kerjasama dan kolaborasi bakat dalam bidang keselamatan siber negara-negara Asia Tenggara, untuk mengambil bahagian dan mendapat manfaat daripada inisiatif masing-masing.
“Antara bidang kerjasama yang dipersetujui menerusi MoU ini ialah latihan dan perkongsian ilmu, termasuk pembangunan profesional ahli, penyelidikan, kolaborasi, aktiviti berkaitan belia dan komuniti serta forum keselamatan siber,” menurut kenyataan itu.
“Dengan pemeteraian MoU ini, bakat-bakat dalam keselamatan siber, termasuk di Malaysia, berpeluang mengembangkan rangkaian dan peluang mobiliti bakat profesional dengan negara Asia Tenggara yang lain,” menurutnya.
Kenyataan itu berkata kolaborasi ini juga diharap dapat memberikan nilai tambah yang boleh dimanfaatkan oleh tenaga kerja tempatan dari segi pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam bidang keselamatan siber.
MBOT berkata MoU itu ditandatangani di Singapura dengan disaksikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo serta Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Pintar dan Keselamatan Siber melibatkan negara Asia Tenggara, iaitu Brunei, Singapura, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.
Sumber: BERNAMA