Posted on: 25/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan dua perkhidmatan tambahan tren elektrik (ETS) Platinum bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral sempena cuti sekolah dan cuti umum akan datang. 

KTMB dalam kenyataan semalam memaklumkan penambahan perkhidmatan itu melibatkan perjalanan dari Jumaat hingga Isnin bertarikh 9 hingga 12 Disember, 16 hingga 19 Disember, 23 hingga 26 Disember dan 30 Disember depan hingga 2 Januari 2023.

Kenyataan itu menyebut tambahan tren ETS terbabit dapat menampung permintaan tinggi bagi beberapa destinasi seperti Ipoh, Butterworth, Alor Setar dan Padang Besar.

Tren tambahan itu menawarkan sejumlah 10,080 tiket yang akan mula dijual hari ini.

“Setakat semalam, lebih 55 peratus tiket telah dijual bagi sektor KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral pada hujung minggu.

“Trend ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa berikutan cuti sekolah dan cuti umum serta kepada pengguna yang terus memilih perkhidmatan kereta api untuk ke destinasi pilihan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Para pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB.

Sumber: BERNAMA