Posted on: 25/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

PKR Perlis berharap kerajaan Persekutuan akan menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri frontliner atau barisan hadapan pertanian dengan memperkasakan sektor pertanian melalui amalan pertanian mampan.

Naib Pengerusi PKR Perlis Asrul Nizan Abd Jalil berkata negeri ini  mempunyai tanah yang subur dan sesuai dibangunkan sebagaimana yang telah digagaskan Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam buku terbaharunya ‘Membangun Negara Madani – Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’.

“Usaha itu selaras dengan keperluan bagi program-program peningkatan sekuriti makanan bagi menangani isu kenaikan harga makanan,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Asrul Nizan berkata dengan bantuan kerajaan pusat, Perlis mampu mengusahakan tanaman jagung bijirin berskala besar dalam usaha mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import khususnya kepada ternakan ayam dengan sasaran pengurangan kebergantungan yang besar terhadap bekalan import jagung bijirin.

“Difahamkan bahawa  kualiti jagung yang dihasilkan di Perlis digred sebagai terbaik dalam negara, manakala Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) memberi gred sebagai ketiga terbaik di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menjanjikan kad subsidi atau e-dompet untuk petani juga menjadi berita baik kepada pesawah di negeri ini yang mengharapkan penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negara bagi menghapuskan monopoli dalam sektor bahan makanan.

Anwar juga katanya telah merangka satu gagasan khas bagi merancakkan pembangunan wilayah miskin termasuk Perlis dengan pelan perancangan untuk pembangunan projek solar besar-besaran dan meneroka potensi bagi prospek pembangunan sektor tenaga hijau yang lain.

“Selamat maju jaya kami ucapkan buat PM ke-10 yang kami sandarkan harapan baharu untuk negeri Perlis agar mampu berubah ke arah lebih baik yang berupaya muncul sebagai negeri yang mampan demi mensejahterakan rakyat Perlis dengan kewujudan peluang ekonomi baharu yang akhirnya membuahkan peluang pekerjaan baharu untuk anak-anak Perlis, “ katanya.

Sumber: BERNAMA