Posted on: 29/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Lari daripada kebiasaan, seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  menanam padi berskala kecil di halaman rumahnya di Kampung Kandang Hilir di sini menggunakan tong cat terpakai berbanding resam kehidupan padi di sawah. 

Eddrus Iskandar Abd Hamid, 35, berkata idea tercetus apabila melihat ibu saudaranya berjaya menghasilkan tanaman padi di dalam pasu lantas memulakannya sejak pertengahan tahun ini.

“Pada permulaan, ibu saudara saya menggunakan baja sekam padi untuk tanaman di rumahnya seperti cili dan sebagainya. Dalam sekam padi itu wujud sebutir padi yang tidak terbakar dan dari situ dia tercetus tanam padi dalam sebuah pasu,” katanya kepada Bernama.

Eddrus Iskandar yang berkhidmat selama 15 tahun dengan TLDM berkata beliau tidak menyangka cubaannya membuahkan hasil memandangkan pada awalnya hanya ingin mencuba kerana tertarik dengan kaedah penanaman padi dalam tong cat yang mudah dan kos efektif.

Katanya konsep penanaman padi dalam tong cat dan di sawah adalah sama termasuk dari segi pengawalan air yang mencukupi, penggunaan baja dan kandungan mineral dalam tanah yang terkawal dan cuaca yang baik.

“Saya ambil sedikit benih dari tempat pemprosesan padi dan pemberian ibu saudara. Alhamdulillah, kini saya dapat menghasilkan kira-kira sekilo padi iaitu hasil tanaman di tiga hingga empat tong cat,” katanya yang turut menanam beberapa sayur seperti cili dan bayam Brazil.

Eddrus Iskandar berkata penanaman padi dalam tong cat adalah mudah kerana tidak memerlukan banyak peralatan  selain tidak perlu risau kehadiran haiwan perosak.

“Anggaran secara kasar, 20 pasu atau tong cat padi boleh mengisi perut sebuah keluarga yang mempunyai tiga hingga empat orang anak untuk keperluan sebulan,” katanya.

Beliau percaya saranan kerajaan supaya rakyat di negeri ini menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri dapat membantu menangani kekurangan bekalan makanan ketika ini serta meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelum ini turut menitahkan agar gerakan secara besar-besaran dilakukan untuk memenuhi keperluan bekalan makanan negara yang ketika ini di ambang bahaya.

Sumber: BERNAMA