Posted on: 30/11/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Seramai 175 penternak di Terengganu yang terjejas ekoran banjir pada Disember 2021 hingga Februari tahun ini telah menerima bantuan dalam bentuk peralatan dan input penternakan bernilai hampir RM2.08 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim berkata bantuan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan itu  membolehkan setiap penternak menerima antara RM5,000 hingga RM10,000 seorang dan penyerahan telah dibuat 2 November lepas di Kampung Getang, Hulu Terengganu.

Katanya kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan tunai kepada penternak terjejas di bawah Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu melibatkan jumlah keseluruhan RM221,000.

“Penternak Terengganu paling beruntung. Bantuan tunai dapat daripada kerajaan negeri dan dapat pula bantuan peralatan serta input dari (kerajaan) Persekutuan.

“Dalam masa yang sama kerajaan negeri bantu untuk buat penyelarasan dan penjadualan semula pinjaman dengan agensi pembiayaan seperti SBMT (Skim Bantuan Modal Tani), LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan Agrobank dengan penternak,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Azman berkata sektor pertanian dan penternakan mengalami kerugian RM12 juta akibat angin kuat, hujan lebat berterusan dan banjir yang telah meninggalkan kesan mendalam kepada sekuriti makanan negeri.

Katanya, sektor perikanan akuakultur mencatatkan kerugian terbesar iaitu RM8.56 juta dengan Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut adalah daerah paling terjejas.

Selain itu, Azman berkata  kerajaan negeri telah mengadakan siri perbincangan dan perancangan bersama pakar bidang formula makanan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import bagi makanan ternakan.

“Antara yang dirancang adalah memanfaatkan sumber tempatan seperti rumput napier, isi ikan talapia hitam serta ikan baja bagi menghasilkan formula makanan ternakan sendiri,” katanya.

Azman berkata tanah seluas 2.4 hektar di Bukit Kor, Marang telah diluluskan bagi pembinaan kilang makanan ternakan yang melibatkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan negeri dengan pelabur swasta, bagi menghasilkan produk itu dengan harga yang jauh lebih murah.

Sumber: BERNAMA