
Program Usahawan Mahasiswa (PUM) 2022 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya menggilap bakat keusahawan dalam kalangan mahasiswa di Selangor dengan mencatatkan jualan bernilai lebih RM200,000.
Pengurus Besar Kanan Keusahawanan PKNS Azilah Arshad berkata nilai jualan tersebut berjaya diraih oleh 23 usahawan mahasiswa daripada pelbagai institut pengajian tinggi dalam tempoh tiga bulan menerusi bimbingan pihaknya selama enam bulan secara fizikal dan dalam talian.
Beliau berkata kaedah pembelajaran termasuklah modul berkaitan jualan dan pemasaran, pengurusan kewangan, latihan berkumpulan, simulasi serta mentoring sebagai usaha pembudayaan keusahawanan yang disediakan oleh PKNS kepada mahasiwa.
“Pihak kami komited dalam menyediakan platform bagi membantu melahirkan lebih ramai generasi usahawan muda.
“Atas dasar itu, PKNS meneruskan legasi inisiatif seumpama ini bagi memberi pendedahan dan peluang kepada mahasiswa dan menggilap bakat keusahawanan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Graduasi PUM PKNS 2022, di sini, semalam.
Azilah berkata PKNS berharap inisiatif PUM itu yang telah diperkenalkan sejak 2003 dapat membantu usahawan muda mengembangkan sayap mereka sekali gus merancak dan mengukuhkan ekosistem ekonomi di negeri ini.
“Kami juga berharap dengan penganjuran program ini, lebih ramai golongan muda yang cakna mengenai pentingnya memulakan perniagaan dengan ilmu dan bimbingan” katanya.
Pada majlis yang sama, seramai 10 orang peserta akhir dipilih untuk membentangkan mengenai produk, strategi jualan dan prestasi perniagaan masing-masing dalam merebut gelaran juara keseluruhan untuk program PUM 2022.
Selain daripada PUM, PKNS turut menyelia 13 program keusahawanan lain yang menyasarkan pelbagai peringkat umur antaranya Program Tunas Niaga (PROTUNe), Program Usahawan Siswazah, Program Vendor Inkubator Payung (VIP) dan Program Sub Kontraktor Bumiputera (SKB) PKNS.
Bermula tahun lepas, PKNS juga mula mengorak langkah melaksanakan program bagi membantu melahirkan usahawan ke pasaran luar negara seperti Program Inisiatif Halal, Program Inisiatif Export Ready dan Program Rural/Urban Enterpreneurship.
Sumber: BERNAMA