Posted on: 19/12/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pengguna jalan raya diminta melaporkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri jika terdapat insiden bencana seperti pergerakan ketulan batu di tebing atau cerun di mana-mana kawasan sewaktu musim cuaca tidak menentu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata aduan boleh disalurkan ke Aduan JKR Perak di talian 1-800-88-3377 untuk tindakan segera termasuk penutupan jalan di kawasan yang dilaporkan.

“Pengguna kena sentiasa peka. Apabila nampak perkara pelik seperti (pergerakan) ketulan batu (dari cerun), lapor segera kepada JKR dan pihak berkuasa.

“Pihak JKR telah memasang sensor dan tolok hujan di beberapa lokasi cerun kritikal untuk amaran awal, tindakan pemantauan dan kecemasan. Setakat ini tiada lagi lokasi-lokasi berpotensi seperti insiden di Batang Kali, Selangor,” katanya dalam sidang media sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 hari ini.

Setakat ini katanya, JKR Perak telah mengenal pasti 239 lokasi cerun berisiko sangat tinggi dan 211 lokasi berisiko tinggi di negeri ini.

Terdapat tiga laluan yang sangat kritikal ketika ini iaitu Jalan Tapah-Cameron Highlands (FT059), Jalan Baling-Grik (FT004) Lebuhraya Timur-Barat) dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (FT185), katanya.

Mohammad Nizar berkata pengguna juga diminta lebih berhati-hati sewaktu melalui mana-mana cerun  ketika musim hujan lebat ini yang kapasitinya sangat luar biasa demi keselamatan mereka. 

Sumber: BERNAMA