Posted on: 21/12/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Keadaan hujan lebat yang melanda Kelantan dan Terengganu, diramal beralih ke Pahang, Johor dan juga ke kawasan barat Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata data terkini diperoleh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan luruan kedua Monsun Timur Laut 2022/2023 yang sebelum ini bermula pada 17 hingga 21 Disember, akan berlarutan sehingga 25 Disember.

“Sehubungan itu, kerajaan telah meminta supaya jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JBPN) dan daerah-daerah khususnya di kawasan hotspot bagi ketiga-tiga negeri ini, meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka,” katanya selepas sesi Penyerahan Sumbangan Felda Global Ventures (FGV) kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN).

Replika cek bantuan RM5 juta itu disampaikan oleh Pengerusi FGV Datuk Zulkifli Wahab kepada Armizan di Bangunan Parlimen, di sini semalam.

Pada masa sama, JBPN turut diminta berhati-hati dengan kesan pascahujan iaitu keadaan pergerakan tanah yang boleh membawa risiko tanah runtuh, khususnya di kawasan berdekatan lerengan bukit pada kadar 25 darjah.

Mengulas tentang keadaan banjir yang melanda negara ketika ini, beliau berkata ia masih pada tahap dua dan dalam keadaan terkawal dengan kawal selia masih di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri masing-masing.

Katanya, sehingga 2 petang semalam, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 67,214 mangsa daripada 18,450 keluarga yang ditempatkan di 469 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 20 daerah di lima buah negeri.

Armizan berkata secara kumulatif, sejak MTL melanda negara pada awal November, sejumlah 25,635 keluarga ditempatkan di PPS melibatkan 92,157 mangsa di 11 negeri.

Menurut beliau, kerajaan juga mula mengaktifkan pusat kawalan operasi banjir (PKOB) yang diselaraskan Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melibatkan pelbagai agensi dan beroperasi 24 jam.

“Tujuannya adalah selain daripada menerima laporan, memantau keadaan banjir di seluruh negeri, PKOB di peringkat pusat juga akan ambil tindakan intervensi seperti di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Rantau Panjang di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan amat mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada pihak korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian yang boleh disampaikan kepada kerajaan atau secara terus kepada pihak terlibat.

“Di peringkat pusat, bantuan boleh disampaikan kepada pihak Nadma dan jika bantuan hendak disampaikan secara langsung di negeri atau daerah terlibat, kita menyarankan mereka menghubungi Jawatankuasa Bencana Daerah,” katanya.

Sumber: BERNAMA