
Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri yang dilanda musibah banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh kerana keadaan banjir dan kesusahan rakyat, kita putuskan sambutan besar-besaran ambang Tahun Baharu 31 Disember di Dataran Merdeka dibatalkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini.
Anwar berkata mesyuarat Kabinet hari ini memberi tumpuan soal banjir di Kelantan dan Terengganu dan beliau sendiri akan turun ke Kelantan bagi meninjau keadaan di sana petang ini.
Menurutnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah sampai di kedua-dua negeri berkenaan dan memantau serta mengambil beberapa tindakan segera, dan telah melaporkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat tadi.
“Saya akan ke Kelantan dan pengumuman (berkaitan) banjir akan diumumkan di sana setelah mendengar pandangan di lapangan dan kerajaan negeri,” katanya.
Sumber: BERNAMA