Posted on: 27/12/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Sabah pada petang semalam menunjukkan trend penurunan berbanding pagi semalam, manakala di Perak kekal. 

Bagaimanapun, jumlah penduduk di pesisir pantai di Sabah terutamanya yang tinggal di rumah atas air yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran fenomena air pasang besar pada petang semalam meningkat berbanding pagi semalam. 

Di KELANTAN, seramai 3,900 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas 12 PPS di negeri itu ditutup setakat 4 petang semalam.

Perkembangan itu menjadikan seramai 1,511 mangsa banjir daripada 515 keluarga masih berada di enam PPS petang semalam, berkurangan berbanding 5,411 orang daripada 1,787 keluarga pagi semalam.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Kapten (PA) Mohd Hanif Omar memaklumkan kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di enam PPS di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

“Lima PPS di Pasir Mas menempatkan 1,174 mangsa daripada 390 keluarga, manakala sebuah PPS di Tumpat menempatkan 337 mangsa daripada 125 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Di TERENGGANU, situasi banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa turun mendadak kepada 138 berbanding 1,438 semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kini hanya Besut yang masih mempunyai mangsa banjir yang sedang berlindung di dua PPS iaitu seramai 126 orang di Masjid Kampung La dan 12 mangsa di Balairaya Kampung Pantai.

Manakala, di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 62 orang daripada 14 keluarga melibatkan penduduk dari Kampung Batu 7 dan Kampung Batu 7 1/2 Lorong Mesra, Changkat Jong, yang kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART), Hilir Perak.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan jumlah mangsa banjir itu tidak berubah sejak 8 pagi semalam.

Di SABAH, mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud berkurangan kepada 139 mangsa daripada 57 keluarga petang semalam berbanding 143 mangsa daripada 58 keluarga pagi semalam.

PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan menempatkan 62 mangsa daripada 26 keluarga, dan  Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa menempatkan 77 mangsa daripada 31 keluarga.

Sementara itu, jumlah penduduk di persisir pantai terutama yang tinggal di rumah atas air yang dipindahkan akibat fenomena air pasang besar meningkat kepada 1,506 mangsa daripada 314 keluarga petang semalam berbanding 1,483 mangsa daripada 308 keluarga pagi semalam.

Seramai 684 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Sandakan, 54 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu, manakala 768 mangsa daripada 177 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas.

Sumber: BERNAMA