Posted on: 28/12/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan Pulau Pinang memperuntukan sebanyak RM6.9 juta untuk sektor pertanian di negeri itu dalam usaha memastikan peningkatan hasil pertanian dan keterjaminan bekalan makanan.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd Muhaimin Ibrahim, berkata peruntukan pada tahun depan itu juga yang tertinggi sejak 2019 dan ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam usaha membantu menambah pendapatan petani, penternak, nelayan serta usahawan.

“Jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk pertanian pada 2019  sebanyak RM3 juta setahun, namun, jumlah itu meningkat kepada RM5 juta bermula 2020 iaitu pertambahan sebanyak RM2 juta untuk sektor pertanian selain peruntukan tambahan yang diberi secara ‘one-off’.

“Sehingga 2023 (tahun depan), sebanyak RM6.9 juta akan diperuntukkan untuk sektor pertanian sahaja dan ini bermakna, kerajaan negeri sememangnya memberi perhatian terhadap sektor ini dalam usaha memastikan hasil pertanian semakin baik.

“Pulau Pinang merekodkan hasil purata pengeluaran padi tertinggi negara iaitu sehingga mencecah 5.7 metrik tan sepanjang tahun lepas meskipun kawasan tanaman padi di negeri ini hanya seluas kira-kira 12,105 hektar sahaja,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Mohd Muhaimin ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan Kualiti Makanan Peserta ‘Farmers to Farmers’ Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin.

Sementara itu, Mohd Muhaimin berkata program ‘Farmers to Farmers’ Industri Asas Tani bermula sejak tahun lepas dalam usaha membantu golong petani menambah pendapatan mereka dan ia dimulakan tahun lepas dengan memberi tumpuan terhadap tanaman fertigasi seperti cili, sayur serta cendawan melibatkan 60 peserta.

Katanya, pada tahun ini, pihaknya memperluaskan program itu kepada suri rumah, pekerja sambilan dan pengusaha produk makanan sendiri terutama sejuk beku secara kecil kecilan dengan memberi pelbagai bantuan khususnya dari segi peralatan serta kursus.

“Tahun ini kita belanjakan RM900,000 untuk program itu, kami akan berikan  kursus dan bantuan berupa peralatan dan sebagainya, peserta juga dibawa mengikuti lawatan keusahawanan termasuk ke Selangor, baru-baru ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA