Posted on: 05/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menambah baik pentadbiran dan penguatkuasaan agensi terlibat untuk menangani isu perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau secara terbuka menerima sebarang  kritikan, pandangan dan cadangan untuk memastikan kementeriannya dapat melindungi kanak-kanak terutama dalam kes buli, dera dan penganiayaan kanak-kanak.

Beliau berkata selain bersetuju untuk menubuhkan jabatan atau institusi khas kanak-kanak, pihaknya juga berhasrat untuk memperkasakan sumber manusia dengan meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam pengurusan kes berkaitan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Saya tidak menidakkan kemungkinan terdapat kelemahan berhubung soal ini, mungkin jumlah tenaga kerja kurang atau ketiadaan kepakaran tertentu, jadi saya tidak menafikan.

“Misalnya pegawai yang mempunyai kemahiran dalam bidang psikologi, sekarang ini saya dapati pegawai Jabatan JKM majoritinya berkelayakan peringkat diploma, bukan bermaksud mereka tidak pandai tetapi beban mereka besar, jadi tidak adil bagi mereka.

“Antara langkah itu adalah dengan mewujudkan sama ada satu unit, atau jabatan atau institusi baharu. Saya telah bentang perkara ini kepada Kabinet agar kementerian distruktur semula,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum lawatan ke sebuah tempat perlindungan kanak-kanak di sini, hari ini.

Nancy berkata pihaknya juga akan membuat permohonan agar kementeriannya diberi peruntukan lebih tinggi tahun ini bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Ketika ditanya mengenai pindaan undang-undang berkaitan kanak-kanak, beliau berkata undang-undang berhubung kesejahteraan kanak-kanak yang terdapat dalam Akta KanakKanak 2001 sedia ada, mencukupi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

“Baru-baru ini,¬†Akta Kanak-Kanak telah dipinda pada 2021, dan menurut laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), undang-undang kita mematuhi konvensyen hak kanak-kanak antarabangsa.

“Namun, ia tidak terhenti di situ, sebaliknya ia adalah satu proses yang akan terus berjalan dan tidak hanya terhenti di situ,” katanya.

Mengikut statistik JKM, sebanyak 3,848 kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak dilaporkan pada awal Januari sehingga Ogos tahun lepas.

Sumber: BERNAMA