Posted on: 09/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Langkah keselamatan kesihatan di lapangan terbang telah dilaksanakan sejak bermulanya pandemik dan akan diteruskan dengan lebih giat terutamanya berikutan peningkatan ketara pergerakan trafik antarabangsa pada 2022, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan hari semalam, MAHB berkata kumpulan itu telah merekodkan kira-kira 143,000 pergerakan pesawat antarabangsa bagi operasinya di Malaysia pada tahun lepas dengan sebahagian besar pergerakan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu sekitar 111,000.

“Menerusi kelonggaran sekatan perjalanan terkini oleh kerajaan China, kumpulan menjangkakan jumlah pergerakan antarabangsa di rangkaian lapangan terbang kami akan mencatat lebih banyak peningkatan pada 2023.

“Terdapat penerbangan masuk dan keluar ke China yang beroperasi di KLIA sejak 2022 dan kekerapannya telah meningkat beransur-ansur pada suku terakhir tahun tersebut,” katanya.

MAHB berkata KLIA dijangka menerima 11 penerbangan dari China hari ini dengan sembilan daripadanya di terminal utama KLIA manakala dua lagi di klia2. Lapangan terbang tersebut akan menerima purata sebanyak 10 penerbangan harian pada minggu akan datang, katanya.