
Sambutan Minggu Perpaduan akan diadakan selama seminggu di seluruh negara pada bulan Mei sebagai antara program pengukuhan berimpak tinggi yang dirancang Kementerian Perpaduan Negara bagi meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pengisian program berkenaan adalah berlandaskan tema ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ melibatkan pelbagai aktiviti ekspresi kasih, persahabatan dan persaudaraan.
“Program ini bukan sahaja akan dilaksanakan di kementerian dan jabatan, tetapi turut melibatkan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya semasa berucap sempena Majlis Amanat 2023 kementerian berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.
Sementara itu, Aaron berkata peningkatan nilai Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) daripada 0.567 pada 2018 kepada 0.629 pada tahun lepas (2022) menunjukkan tahap perpaduan kalangan rakyat Malaysia adalah terkawal, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
Pada tahun lepas, katanya Kajian Indeks Kebahagiaan yang mengandungi 13 komponen dikaji antaranya keluarga, perumahan dan alam sekitar, penyertaan sosial dan kesihatan menunjukkan rakyat Malaysia berada pada tahap bahagia apabila mencatatkan skor 6.48.
“Sudah tentu komponen-komponen tersebut juga ada kaitan atau menyumbang kepada tahap perpaduan masyarakat. Jadi, hasil kajian ini juga boleh diperhalusi lagi dalam kita meneliti isu-isu yang mempengaruhi tahap kesepaduan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu juga, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Noridah Abdul Rahim mengetuai warga kementerian berkenaan menandatangani sijil Ikrar Bebas Rasuah yang seterusnya diserahkan kepada Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Razim Mohd Noor.
Sumber: BERNAMA