Posted on: 17/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan mengumumkan sebarang projek baharu untuk sesebuah negeri yang dilawatinya tanpa melakukan penelitian rapi terlebih dahulu.

Beliau berkata sesuatu projek yang hendak diumum  perlu dikaji dan mendapat persetujuan semua pihak termasuk di  peringkat agensi berkaitan  supaya ia dapat dilaksanakan dengan telus serta berjalan lancar.

“Bukan amalan saya datang kemudian umum projek. Kalau mahu umum projek, kena ada persetujuan di peringkat agensi pusat, kalau tidak, umum projek tetapi tidak ada apa perkara pun berlaku.

“Contohnya, berapa ratus projek diumum di Perlis belum pun dilaksanakan terutama sebelum pilihan raya. Saya tidak mahu meneruskan amalan itu. Kalau kita dah putuskan muktamad, baru kita akan lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Perlis di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Anwar berkata selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini, kerajaan akan mengadakan mesyuarat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bersama agensi dan kerajaan negeri berkaitan bagi meneliti projek-projek di bawah koridor ekonomi itu.

Pada masa sama, Perdana Menteri memberi jaminan akan terus membantu mengupayakan ekonomi Perlis untuk meraih hasil yang memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

“Itu sebagai dasar yang kita akan lakukan. Jentera negeri serta Persekutuan harus berunding betul-betul kerana kita berada dalam kekangan ekonomi. Hutang negara dianggar RM1.2 trilion dan hasil bertambah kecil manakala keupayaan belanja sangat terbatas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam untuk bersedia membawa perubahan walaupun hanya sedikit agar prestasi negara dapat dipertingkat.

“Budaya mudah selesa seperti saya pemimpin terbaik, saya pentadbir terbaik, saya guru terbaik dan tidak ada keinginan atau hasrat untuk memperbaiki diri yang disebut sebagai keangkuhan, perlu ditinggalkan,” katanya.

Sumber: BERNAMA