Posted on: 18/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melaksanakan tujuh fokus tahun ini bagi memastikan kesinambungan usaha memacu perkembangan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara, di samping meneroka peluang ekonomi baharu.

Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata pelaksanaan menerusi pendekatan 4K (Komuniti, Kerjasama, Kemajuan dan Kemakmuran) itu meliputi membina Model Pembangunan Sistem Pencegahan Ancaman Bencana Alam, Kesihatan dan Bekalan Makanan Negara; merapatkan jurang capaian teknologi melalui Sistem Pintar untuk Komuniti Bandar-Luar Bandar Terhubung dan meningkatkan sosioekonomi rakyat menerusi inisiatif inovasi sosial.

Beliau berkata fokus lain ialah meneruskan MYHackathon; memberi pengiktirafan kepada barangan, perkhidmatan serta teknologi dan inovasi tempatan; memperkukuh bakat STI menerusi Program Upskilling for Deeptech and Future Skills serta merancakkan pembangunan dan pengaplikasian teknologi maju.

“Sebagai kementerian yang menerajui agenda STI, MOSTI memainkan peranan penting dalam menawarkan penyelesaian isu dan cabaran negara.

“Peranan MOSTI adalah penting dalam menyediakan ekosistem sokongan yang kondusif bagi membangunkan teknologi yang dapat membantu rakyat dan negara terutamanya dalam memacu ekonomi berlandaskan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun 2023 MOSTI, di sini semalam.

Mengenai pendekatan 4K, Chang berkata untuk melaksanakan agenda STI, kerjasama pelbagai pemegang taruh perlu diperkasa terutama perkongsian kepakaran dan sumber antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta industri.

Beliau berkata meskipun pelaksanaan pendekatan itu  memerlukan tempoh yang panjang bagi memastikan kelestariannya, penglibatan  empat pihak utama terdiri daripada kerajaan, akademia, industri dan komuniti adalah penting bagi memacu agenda STI negara. 

“Hal ini penting bagi memastikan kemajuan STI menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, mencipta model perniagaan dan industri baharu untuk meningkatkan daya saing serta daya tahan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Chang berkata MOSTI akan memanfaatkan teknologi sedia ada dan menggalakkan penggunaan inovasi teknologi menerusi perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah kementerian itu bagi  menambah baik sistem dan aplikasi pengesanan awal bencana serta  melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan berkaitan.

Beliau berkata antaranya adalah menerusi analisis kimia, penderiaan jauh, pemantauan aras sinaran radioaktif dan foresight (ramalan).

Sumber: BERNAMA